KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun urusniaga menggunakan dinar emas boleh mengelak manipulasi dan penipuan, tetapi malangnya tiada negara, termasuk negara Islam yang mahu melakukannya. Bekas Perdana Menteri berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi Emas Dinar 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) .
Beliau berkata, seketika dahulu Malaysia pernah mahu menggunakan dinar emas dalam urusniaga tetapi tidak berjaya dilaksanakan kerana tiada negara lain yang sedia menjalankan urusniaga menggunakannya. Bagaimanapun, beliau tidak membuat cadangan khusus supaya kerajaan menggunakan dinar dalam urusniaganya.
Bagaimanapun, katanya, untuk menjadikan dinar emas sebagai wang alternatif perniagaan bukanlah mudah kerana ia boleh menyebabkan ekonomi negara gagal atau musnah. Sementara itu dalam ucaptamanya Dr Mahathir berkata, sekalipun Malaysia menggunakan dinar emas, namun sistem perdagangan lama terus digunakan. "Apabila kita memperkenalkan perbankan Islam, sistem perbankan lama masih dikekalkan," katanya.
Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, umat Islam hari ini menjadi lebih kaya dari sebelumnya, khususnya dari segi pendapatan dalam dolar Amerika, tetapi tidak menggunakan sistem perbankan ataupun atau wang untuk kepentingan mereka. Menurut Dr Mahathir, mereka sebaliknya menyimpan wang di negara luar khususnya di Amerika yang digunakan oleh kuasa besar itu untuk membunuh orang Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan."Pada masa sekarang walaupun emas masih tidak boleh dilaksanakan bagi urusniaga jual beli tetapi emas boleh menjana pendapatan di masa hadapan disebabkan emas sukar didapati dan mendapat permintaan yang tinggi".